Tuesday, August 23, 2011

Hebatnya Kurma

   .
Suatu hari Rasulullah s.a.w. telah berteka-teki dengan para sahabat. Baginda bersabda yang bermaksud: " Daripada pelbagai jenis pokok, ada pokok yang daunnya tidak pernah gugur dan sifatnya seperti seorang Muslim, apakah pokok tesebut?"

Para sahabat cuba meneka dan menamakan pelbagai jenis pokok yang terdapat di lembah-lembah. Abdullah bin Umar yang meriwayatkan peristiwa ini berkata: "Aku terfikir jawapannya mungkin pokok kurma, tetapi aku segan untuk bersuara dalam kalangan orang yang lebih dewasa (beliau masih kanak-kanak)" Para sahabat ber tanya "Apakah jawapannya Rasulullah?"

Baginda bersabda "Kurma" (Riwayat Muslim no. 5027 dan Al-tarmizi No. 2793)

Daun pokok kurma tidak pernah gugur kerana yang gugur ialah pelepahnya. Banyak faedah yang diperolehi dari pokok kurma selain rasanya yang enak, ketahanannya walaupun telah kering, batang, pelepah dan daunnya yang boleh digunakan sebagai tiang, kayu api, tali dan sebagainya. Imam Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menerangkan bahawa perumpaan pokok kurma dengan seorang Muslim yang memiliki pelbagai kebaikan dengan ketaatan dan amalan solehnya seperti solat, zakat, sedekah, puasa serta akhlaknya yang mulia.

Kurma adalah makanan paling ideal untuk tubuh manusia kerana ia mengandungi kadar gula yang tinggi dalam bentuk glukosa dan fruktosa , protein, lemak,vitamin A,B2 dan C serta mineral penting iaitu kalsium,potasium, fosforus magnesium, sodium dan florin.

Sunnah berbuka dengan kurma sepertimana Sabda Rasululullah s.a.w "apabila seorang daripada kamu berbuka puasa, maka berbukalah dengan buah kurma. Sekiranya tiada kurma, maka minumlah air kerana ia adalah suci. (Riwayat al-Tarmizi no.594)

Ia sangat bertepatan kerana terbukti secara saintifik bahawa kurma membekalkan sumber tenaga segera kepada manusia, bahkan mengawal pemakanan agar tidak berlebihan kerana rasa letih dan lapar sudah berkurang dengan ketara. Namun kita berbuka puasa dengan kurma semata-mata mencontohi sunnah Rasulullah s.a.w., bukannya disebabkan faktor diet atau kesihatan.... 
Dipetik dari Solusi , edisi Ramadhan 2011

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...