Malam minggu yang tenang. Sementara si comel baru tidur setelah penat bermain, aku mencari masa mengisi aktivitiku.
“Ma…..ma….ehek…ehek…”
Rengekan si comel menyentap salur separuh bulat telingaku. Aku lantas bergegas masuk ke kamar tidur. Terletak bersebelahan dengan perpustakaan mini, tempatku berkarya. Dalam suramnya cahaya lampu tidur, sinar wajahnya kemilau. Pandanganku menyimbah kasih. Dia tampak kesedihan. Memerlukanku. Apabila tanganku menepuk belakangnya, dia pantas terlena semula. Tenang. Mimik mukanya seakan cuba memberitahuku,
“Ummi, temankanlah”.
Kusedar dia perlukan waktu untuk mengerti tentang kegelapan dan kesepian. Moga ia damai dalam pelukanku. Dari alam rahim yang akrab denganku, dia hadir ke dunia yang asing ini. Tanpa mengerti suatu apa pun. Kubacakan doa buatnya lalu kuhembus ke ubun-ubun. Terima-kasih Allah kerana sudi mengingatkanku agar mendoakan pinjaman-Nya ini. Doa seorang ibu tinggi di sisi Ilahi. Terasa nikmat menjadi ibu. Damai ku merenung wajah bersih sedang beradu. Kelak, di alam barzakh, aku sangat kebulurkan doanya. Aku yakin, jika seorang ibu ingin mendidik anaknya mendoakan ibubapanya, ibubapa terlebih dahulu kena rajin mendoakan anak. Didikan melalui tauladan.
SUSU TERBAIK DI DUNIA
Aku kembali ke perpustakaan mini. Baru menyapa kerusi, melodi manja kembali kedengaran. Kali ini bukan rengekan tapi tangisan.
“Aaaaaaaaaaaaaaaa’…”
Tangisan itu menandakan si comel ingin memberitahuku salah satu daripada tiga perkara:
1.Inginkan susu.
2.Lampin basah.
3.Perut kembung.
Dia inginkan susu. Aku membuat tafsiran. Sesaatpun aku tidak bertangguh. Jika nanti aku tidak mahu anakku bertangguh pada panggilanku, aku perlu terlebih dahulu menunjukkan contoh tidak bertangguh pada panggilannya. Pantas ku mendapatkan si jantung hati. Kusuakan susu terbaik di dunia buatnya, susu ibu.
Subhanallah! Ajaib kumelihat bayi kecil ini menghisap. Allah yang maha penyayang memberi hidayah semulajadi untuknya belajar tanpa diajar. Gifted konowledge. Walau seperit mana cabaran, aku akan berjuang untuk memberikan hak susu terbaik di dunia buat anakku. Seboleh-bolehnya hingga dua tahun penuh. Ku yakin, susu ibu memberi kesan besar terhadap kekuatan antibodi, kestabilan emosi, kelembutan pekerti dan kecerdasan aqli.
PELUKAN SI KECIL
Ritma lembut tepukan ibu ternyata memberi keselesaan padanya. Kaki kecilnya diangkat dan sekan cuba memelukku. Kurapatkan badanku dengan badannya agar dia berasa begitu dekat denganku bagaikan berada di rahim ibu. Kepalanya tenang mendekat ke jantungku. Bunyi hisapannya menghiburkan.
Bayiku kenyang. Alhamdulillah. Kugosok-gosok belakangnya. Dia terlena. Kucium berkali-kali. Doa kuhembus ke ubun-ubunnya. Perlahan-lahan aku bangun meninggalkannya. Tugasanku di meja studi perlu dibereskan.
SEKSANYA MAYAT BAYI INI
Dalam longgokan buku, terselit senaskhah akhbar. Tarikhnya sudah melewati beberapa hari namun belum sempat kubaca semuanya. Bebola mataku terpanah ke satu tajuk, “Seksanya mayat bayi ini.” Kelihatan gambar mayat bayi dalam keadaan ngeri, dicakar-cakar dan terputus tangan. Belum membaca isinya, air mataku berderai. Sejak bergelar ibu, hatiku mudah tersentuh dan mataku mudah hujan. Kuteruskan bacaan.
Astargfirullah! Seorang remaja sanggup membuang anaknya yang baru lahir di tepi jalan. Apa yang berlaku? Bayi yang sedang menangis ketakutan itu menjadi habuan anjing-anjing liar. Seorang pemuda ternampak seekor anjing penuh kurap menggonggong tangan kecil bayi. Anjing-anjing lain mengerumuni badannya. Daging si kecil dirobek-robek. Astragfirullah! Astragfirullah! Air mataku tak tertahan. Aku rasakan ia angkara zina. Alangkah jijiknya dosa zina yang membawa kepada dosa pembunuhan.
RAYUAN SI COMEL
“Ma…..ma….ehek…ehek…”
Si comelku memanggil. Aku mendapatkannya. Hatiku masih remuk rendam. Simpati melihat puteriku gelisah keseorangan. Takut kesepian.Terbayang-bayang bayi malang itu memanggil-manggil ibunya ketika ditinggalkan.
Mohon simpati.
Mohon dikasihani.
Mohon dibawa bersama.
Namun, apakan daya, si kecil tak mampu berkata-kata. Bicaranya hanya lewat tangisan..
"Ibu…dunia ini asing bagiku. Jangan tinggalkan aku kesepian. Aku takut duhai ibu. Segala yang ada di sekelilingku terasa suatu ancaman kecuali dakapamu, ibu.
Kenapa membuangku?
Apa dosaku?
Tidak cukupkah ibu membuang Allah dari hidupmu selama ini?
Ibu mahu membuang Allah sekali lagi dengan membuang diriku?
Bukankah diriku satu peluang pahala buatmu agar ibu kembali pada-Nya semula?"
Ku yakin, tangisan sarat rayuan seorang bayi pasti menghantui remaja itu sepanjang usia. Ironinya, itu hanyalah salah satu kes daripada ribuan kes pembuangan bayi di Malaysia. Makin bertambah dan makin dahsyat caranya saban hari. Petanda kiamat hampir tiba.
BICARA HATIMU
Setiap insan sebenarnya ingin menjadi seorang ibu atau bapa yang bertanggung jawab terhadap bayinya. Memeluk manja dan memberi perhatian. Fitrah insan begitu. Hanya dengan perkahwinan yang halal dapat memberikan keberkatan nikmat jiwa menjadi ibu atau bapa. Jalan zina hanya mendorong dirimu menyahkan si comel yang tak berdosa.
Remaja di luar sana, kurayu padamu, jauhilah zina. Kenikmatan sementara itu hanya menatijahkan derita selama-lamanya. Allah tidak menyuruh membunuh fitrahmu sebaliknya Dia membentangkan cara halal yang lebih indah untuk menyalurkan fitrahmu itu. Pilihlah cara mulia dan bermaruah. Mendekati zina hanyalah membawa dirimu dekat dengan bahaya. Kau pasti tak berdaya.
Buat remaja yang sudah terjebak dalam zina, bertaubatlah segera selagi Dia masih memberi peluang. Andai kau ditakdirkan mempunyai zuriat, jadikan dia bak emas bernilai. Tumpahkan kasih-sayang dan pengorbanan. Moga-moga ia boleh menjadi sebab untuk 'membeli' sebuah keampunan. Tolonglah, jangan dibuang! Damaikan si kecil itu dalam pelukanmu. Kasihanilah dia agar nanti Allah kasihan padamu.
Dari blog Fatimah Sharhah
No comments:
Post a Comment