Buatlah yang terbaik dan sedaya upayamu manakala selebihnya bertawakkal kepada Allah, Pemberi kejayaan.
Ingatlah pesanan ini: bacalah surah Alam Nasyrah ketika mula memasuki kelas dan ketika menunggu bermulanya perperiksaan. Bersolawat ketika terlupa. Bersyukur dengan menyebut Alhamdulillah bila selesai menjawab semua soalan.
Doa ibu dan abah mengiringi kejayaanmu.
Pesan Cikgu Mala: "Selamat menempuh peperiksaan UPSR kepada semua murid, diharapkan mereka dapat menjawab soalan dengan penuh semangat, berkeyakinan untuk memenuhi harapan ibu bapa dan guru-guru," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Normala Sudirman adalah Pengerusi Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat yang juga merupakan bekas guru dan lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Mala berkata, di samping mengejar kecemerlangan akademik, pelajar-pelajar juga harus mengutamakan kecemerlangan akhirat dengan mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam kehidupan seharian.
Seramai 497,691 murid tahun enam menduduki UPSR bermula hari ini sehingga Khamis di 8,235 pusat peperiksaan di seluruh negara.
"Yang penting bukan sahaja kecemerlangan akademik tapi kecemerlangan akhirat juga harus dititik beratkan. Mudah-mudahan ilmu di sekolah dapat diaplikasi untuk menjadi insan yang berguna," katanya.
Cikgu Mala turut berpesan agar calon-calon UPSR ini memperbanyak bacaan doa dan mendirikan solat hajat sebelum masuk ke dewan peperiksaan agar dapat menjawab dengan tenang.
"Setelah berusaha sedaya upaya, jawablah dengan tenang dan disarankan agar anak-anak melakukan solat hajat pada sebelah malam agar mendapat keberkatan," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment