Friday, March 1, 2013

Kenangan di RAUDHAH

Raudhatul Jannah
Ziarah ke Masjid Nabawi tidak lengkap jika tidak mengunjungi RAUDHAH. Selain maqam Rasulullah SAW, Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab untuk diziarahi, Raudhah adalah kawasan istimewa yang harus diziarahi di Masjid Nabawi. Kawasan Raudhah adalah kawasan yang terletak di antara rumah Rasulullah SAW dengan mimbarnya, di mana terdapat lapan tiang bulat yang dicat putih di bahagian atas manakala di bahagian bawahnya di tampal dengan marmar putih, sementara tiang-tiang lain berwarna putih dari lantai ke bumbung.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Tempat yang terletak di antara rumahku dengan mimbarku merupakan satu taman dari taman-taman syurga, sedang mimbarku itu berada di atas kolamku" - Riwayat Bukhari.

Ulamak-ulamak terdahulu telah mentafsirkan Raudhah adalah 'taman syurga' di mana di sinilah letaknya bilik Saidatina Aisyah r.a. di mana terdapat maqam Rasulullah SAW di dalamnya. Ada juga yang mentafsirkan Raudhah sebahagian daripada syurga yang ditempatkan di dunia ini dan akan dipindahkan ke syurga pada hari akhirat kelak.


Ustuwaanah (tiang) Sareer (kanan) dan Ustuwaanah Ali (kiri) yang masih kekal memagari kawasan maqam Nabi di dalam Sacred Chamber
Oleh kerana itulah, sesiapa yang berpeluang memasuki Raudhah dan beribadat di dalamnya akan mendapat rahmat Allah terus menerus kerana ibadat dan doa-doa mereka akan dimakbulkan Allah berlipat kali ganda.



Malam kedua di Madinah, selepas menunaikan solat Isya' kami menunggu giliran untuk memasuki Raudhah. Keadaan agak berbeza kini di mana jemaah wanita dikumpulkan mengikut negeri masing- masing. Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei semua dikumpulkan bersama, tidak dibenarkan bercampur dengan jemaah wanita dari Turki, India, Mesir dan negara-negara lain. Setelah menunggu hampir 2 jam, akhirnya dapat juga kami memasuki ruang karpet hijau.

Buat kesekian kalinya mengunjungi RAUDHAH, suasana nyata berbeza. Sewaktu musim haji 2008, menunaikan solat sunat di dalam RAUDHAH seperti bersilat, badan saya diasak-asak, dihimpit-himpit sambil bertolak-tolakan dengan jemaah wanita, semua ingin mengambil tempat dan masa yang lama untuk berdoa dan menunaikan solat sunat sebanyak mungkin di dalam RAUDHAH. Kali ini saya dapat berdoa dalam suasana yang lebih tenang, walaupun tidak dibenarkan berada lebih lama di dalam RAUDHAH, namun suasana himpit-menghimpit tidak berlaku, kemungkinan besar disebabkan kami bersama-sama jemaah wanita dari Asia Tenggara sahaja.

"Selamat tinggal wahai Rasulullah. Berpisahlah kita wahai Nabi Allah. Amanlah dikau wahai kekasih Allah. Semoga Allah tidak menjadikan pertemuan kita ini sebagai hari terakhir denganmu untuk menziarahimu ataupun berada di sisimu. Kecuali Allah mengurniakan kebajikan dan sihat walafiat dan selamat. Jika ada umur lagi, InsyaaAllah aku akan datang menemuimu semula. Tetapi jika aku mati dulu, maka sekarang aku tinggalkan ikrar sumpah setiaku dari hari ini hinggalah hari Qiamat: iaitu pengakuanku yang sungguh-sungguh, bahawa tiada Tuhan yang disembah kecuali Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW adalah pesuruh Allah."

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...