Ibu bapa merupakan pemimpin dalam kehidupan sesebuah keluarga. Bapa sebagai ketua keluarga, manakala ibu sebagai pembantunya. Kedua-dua mereka saling bekerjasama demi kebahagiaan dan keharmonian sesebuah keluarga.
Diriwayatkan daripada Ibn Umar r.a katanya: Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud, “Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seorang pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia akan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Manakala seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga, suami dan anak-anaknya, dia akan bertanggungjawab terhadap mereka.” (Riwayat Muslim).
Bapa yang berkedudukan sebagai ketua bertungkus-lumus mencari nafkah untuk menyara makan dan minum serta keperluan-keperluan lain isteri dan anak-anaknya. Tidak kira apa jua keadaan sekalipun, selagi hayat di kandung badan, bapa bertanggungjawab memberi nafkah kepada keluarga yang ditanggungnya.
Bagi ibu pula, peranan mereka juga besar, bermula daripada kesusahan mengandung selama sembilan bulan dan bergadai nyawa melahirkan anak, dia juga menguruskan rutin harian rumah tangga seperti mengasuh, memasak, mengemas, membasuh dan sebagainya.
Malah, dalam situasi kos sara hidup sekarang yang semakin meningkat, ibu juga turut keluar bekerja semata-mata untuk meringankan beban yang ditanggung oleh bapa.
Berbakti pada kedua orang tua
Dimaksudkan dengan berbakti kepada kedua ibu bapa ini ialah berbuat baik kepada mereka; mentaati; melaksanakan hak-hak mereka; menjauhi tingkah laku yang boleh menyakiti hati orang tua dan banyak lagi perkara kebaikan yang boleh dilaksanakan untuk mereka.
ALLAH SWT berfirman bermaksud, “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedangkan tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa 30 bulan”. (Surah al-Ahqaf ayat 15).
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah lalu bertanya: Siapakah manusia paling berhak untuk aku layani dengan sebaik mungkin? Rasulullah bersabda yang bermaksud: Ibumu. Beliau bertanya lagi: Kemudian siapa? Rasulullah bersabda: Kemudian ibumu. Beliau terus bertanya: Kemudian siapa? Rasulullah bersabda: Kemudian ibumu. Beliau terus bertanya: Kemudian siapa? Rasulullah bersabda: Kemudian ayahmu”. (Riwayat al-Bukhari).
Terus berbakti seumur hidup
Felo Rancangan Latihan Akademik (RLKA), Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, Mohd Shukri Hanapi, berkata berbakti kepada ibu bapa itu sama nilainya dengan pahala jihad.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin ‘Asy katanya: “Pada suatu hari seorang lelaki datang menemui Rasulullah memohon izin untuk ikut berjihad bersama Baginda. Lantas Rasulullah bertanya kepada lelaki itu: “Adakah ibu bapa mu masih hidup?” Jawabnya: “Ya, mereka masih hidup.” Rasulullah bersabda: “Dalam diri orang tuamu itulah terdapat nilai jihad.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
“Kewajipan berbakti terhadap kedua ibu bapa ini tidak terhenti walaupun mereka telah meninggal dunia.
“Bahkan anak-anak dikehendaki berdoa untuk mereka, menunaikan wasiat (jika ada), menunaikan janji mereka (jika ada), melakukan apa yang mereka sukai, berbuat baik dengan saudara mara dan sentiasa memuliakan sahabat-sahabat mereka.
“Hal ini berdasarkan hadis-hadis Rasulullah yang bermaksud:
Diriwayatkan daripada Abi Usaid Malik bin Rabi’ah bahawa ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah, tiba-tiba datanglah seorang lelaki dari kabilah Bani Salamah berkata: “Ya Rasulullah, adakah terdapat kebaikan yang dapat saya lakukan kepada kedua ibu bapa yang telah meninggal dunia? Rasulullah menjawab: Ya, ada. Engkau berdoalah untuk keduanya, meminta diampunkan dosa-dosanya, tunaikan wasiat dan janji-janjinya, hubungkan silaturahim dengan saudara dan keluarganya dan hormati serta muliakan kawan-kawannya," (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah, dan Ibn Hibban)
Hormat orang tua walau beza agama
”Sebenarnya, perintah Islam supaya menghormati ibu bapa ini berbentuk umum, sama ada mereka beragama Islam atau tidak.
“Cuma bagi ibu bapa yang bukan beragama Islam, perintah menghormati itu dengan bersyarat iaitu selagi mana ibu bapa tidak menyuruh anaknya yang beragama Islam melakukan perkara-perkara mensyirikkan ALLAH,” tegas Shukri.
Diriwayatkan daripada Sa’id bin Abu Waqqas bahawa Ummu Sa’ad adalah seorang kafir. Kerana terlalu benci kepada Rasulullah, suatu hari Ummu Sa’ad berkata kepada anaknya “Bukankah ALLAH menyuruh engkau berbuat baik kepada ibu bapamu? Demi ALLAH, aku tidak akan makan dan minum sehingga aku mati atau engkau kufur (kepada Nabi Muhammad).” (Riwayat Muslim).
Berikutan peristiwa ini, ALLAH telah menurunkan ayat 8 daripada surah al-‘Ankabut yang bermaksud, “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Aku (dalam Ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kamu semua kembali, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang telah kamu kerjakan”
”Inilah cara-cara pergaulan dengan ibu bapa yang dianjurkan oleh Islam. Hormat dan taatlah kepada ibu bapa selagi mana suruhan mereka itu tidak melanggar atau bertentangan dengan syariat Islam,” ujarnya.
Pusat jagaan orang-orang tua
Mengulas fenomena anak-anak menghantar ibu bapa ke pusat jagaan orang tua, Shukri berkata, perkara itu tidak wajar dilakukan oleh seorang yang bergelar anak.
”Alasan menyusahkan, membebankan dan tidak ada masa tidak harus dikeluarkan daripada mulut seorang anak.
”Sepatutnya, ketika usia semakin lanjut sebeginilah mereka amat memerlukan layanan, perhatian, belaian dan kasih sayang anak-anak sebagaimana kita memerlukan kasih sayang dan perhatian mereka semasa kecil," ujarnya sambil berkata menjaga ibu bapa sakit merupakan khidmat bakti kepada ibu bapa yang tertinggi dan ia merupakan satu jihad.
Dalam pada itu, berbuat baik kepada ibu bapa banyak kelebihannya. Salah satu daripadanya ialah kelebihan yang pernah diterima oleh Uwais al-Qarni-pemuda miskin yang tinggal bersama ibunya yang sangat uzur di Yaman.
"Beliau amat mentaati ibunya dan segala urusan ibunya diuruskan oleh Uwais tanpa sedikit pun mengeluh dan merasa kepayahan.
"Ekoran ketaatannya itu, Rasulullah menjelaskan Uwais al-Qarni seorang yang terkenal di langit dan tidak terkenal di bumi," katanya.
Nasihat Rehal, bagi mereka yang bergelar anak, segeralah berubah jika merasakan diri sentiasa menggores perasaan mereka. Jangan lagi mengecewakan insan-insan yang telah membesarkan kita dengan sikap tidak elok kerana hidup ini silih berganti dan umur pula semakin meningkat. Masih belum terlambat untuk berubah
6 Januari 2012
No comments:
Post a Comment