Ketua Umum
KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, SPR perlu berhenti berdolak dalih,
memandangkan pilihan raya sudah semakin hampir.
“Banyak bukti
dikemukakan dan kita mendesak sekali lagi SPR (untuk) betulkan (perkara ini).
Jangan biarkan keraguan dan kecurigaan bertambah, dan jangan izinkan penipuan
berlaku.
“SPR harus
jawab, jangan dolak dalih kerana pilihan raya sudah dekat, dan jangan anggap
(rakyat) merestui penipuan seperti ini, kerana angka (dan bukti) telah
dikemukakan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN pagi tadi.
Pada 25 April
lalu, KEADILAN mendedahkan, kenderaan SPR didapati memindahkan peti undi ke
sebuah premis meragukan di Jalan SC2, Pusat Perindustrian Sungai Chua, Kajang.
Pada sidang
media itu juga, Anwar turut menunjukkan gambar peti undi dibalut polister dan
dicop logo SPR yang dipindahkan menggunakan kenderaan Pajero.
Ketika itu
juga, beliau turut mengemukakan analisis KEADILAN menunjukkan 28,593 pengundi
dalam daftar pemilih adalah warganegara Indonesia, Filipina, Pakistan dan
Bangladesh, serta 42 nama dari negara tersebut yang menjadi pengundi pos polis
dan angkatan tentera.
Memetik Bernama 25 April lalu, SPR mendakwa proses
penghantaran peti undi adalah perkara biasa, serta daftar pengundi adalah
muktamad dan Anwar tiada hak mempersoalkan kewarganegaraan mana-mana pihak.
Ketika ditanya
wartawan, Anwar menyifatkan jawapan SPR sebagai lemah, dan gagal menjawab
persoalan khusus yang dikemukakan.
“Mereka tidak
beri maklum balas jelas, serta (respon) kepada soalan spesifik tentang daftar
pemilih…(Walaupun) kita beri bukti jelas,” kata Anwar lagi.
“Munasabah
sangatkah bangunan seburuk ini jadi tempat simpanan rasmi SPR, sepertimana yang
disebut SPR,” katanya sambil menunjukkan gambar-gambar premis itu.
Menurut
Anwar, dokumen seperti sampul No. 9P, Bahagian Pilihan Raya Negeri dengan cop rasmi
SPR juga ditemui di kawasan itu.
“Jadi bagaimana
dokumen yang begini rahsia dan penting didapati di sebuah kedai yang tidak
didaftar langsung sebagai milik SPR,” katanya.
Berhubung 42
pengundi pos warga asing, beliau berkata, tidak ada warga asing yang menjadi
anggota keselamatan.
“Saudara tahu
tidak ada orang Bangladesh jadi anggota tentera atau polis…(Kes ini) mesti
dijawab,” katanya.
Ketika
ditanya adakah laporan akan dibuat kepada SPR, Anwar berkata: “Itu tangungjawab
SPR (untuk bertindak). Nak lapor apa lagi. Dia nak ambil, ambillah (bukti)
dokumen ini semua. Saya hanya perlu berkempen”.
No comments:
Post a Comment