SUBANG JAYA, 4 APRIL : DYMM
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan kegembiraan apabila
bilangan masyarakat Islam yang menghantar anak-anak ke sekolah aliran agama
semakin meningkat.
Baginda bertitah,
permintaan yang semakin tinggi saban tahun itu jelas menunjukkan bahawa sekolah
aliran agama mula mendapat kepercayaan daripada masyarakat di negeri ini.
Titah baginda, sekolah
aliran agama bukan sahaja bakal melahirkan pelajar Islam yang berdedikasi dan
berhemah tinggi bagi memartabatkan agama Islam, malah kelak akan memenuhi
permintaan institusi pengajian tinggi Islam yang terdapat di negara ini.
“Beta difahamkan sekolah-sekolah beraliran agama di negeri Selangor ini dari segi pengurusan dan pentadbiranya semakin mantap.
“Malah guru-gurunya juga
menikmati peluang perjawatan serta bantuan pembangunan kurikulum dan
ko-kurikulum yang berjalan lancar serta program pembangunan murid yang semakin
baik,” titah baginda semasa merasmikan Sekolah Agama Menengah Bestari
(Sambest), di sini pagi tadi.
Penubuhan Sambest yang
dirancang oleh Bahagian Pendidikan dan Pelajaran Jabatan Agama Islam (Jais)
bertujuan memantapkan sistem pendidikan yang menawarkan jurusan sains tulen dan
sains teknikal sebagai kurikulumnya.
Sekolah ini mula beroperasi
sepenuhnya pada 29 Mei 1998 di kawasan seluas 37 ekar dengan jumlah guru
seramai 70 orang.
Hadir sama, Menteri Besar,
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin
Munawi dan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr
Halimah Ali.
Titah baginda lagi, untuk
memartabatkan maruah agama, bangsa dan negara, umat Islam mestilah menguasai
ilmu pengetahuan yang mampan dan mendalam dalam semua bidang, di samping
mempunyai pegangan agama yang kukuh.
Menurut baginda, pendidikan
Islam yang kukuh mampu melahirkan generasi Islam dan bangsa Melayu yang
mempunyai akidah yang teguh serta mulia akhlaknya.
“Selain daripada pelajaran
agama Islam, pelajaran ilmu sejarah yang mantap, tepat dan mendalam hendaklah
diajar dan diberi pengetahuan kepada pelajar-pelajar di sekolah beraliran agama
ini.
No comments:
Post a Comment