Datuk Seri Tuan
Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
1. Di zaman Rasulullah SAW berdakwah dan
berjihad, Islam bukan sahaja menghadapi musuh di kalangan ahli kitab, tetapi
juga dari kalangan mereka yang berilmu berkenaan Islam dan kenabian Muhammad
SAW. Mereka ini juga ikut serta menentang Islam secara terbuka, atau
bersembunyi di belakang kalangan munafiqin (yang berpura-pura Islam) atau
mempengaruhi orang-orang Islam yang lemah imannya.
2. Kumpulan ini sanggup menentang Islam kerana
terlalu terpengaruh dengan harta dan pangkat yang mudah dicapai. Mereka ini
bersedia melakukan apa sahaja yang terdekat dan cepat tanpa memikirkan
akibatnya. Walau pun mereka percaya benarnya Islam dan mulianya Rasulullah SAW dengan sifat yang terpuji dan akhlak yang
luhur, tetapi kemenangan Islam dianggap payah dan mungkin mustahil . Apatah
lagi mereka memikirkan bahawa akhirat terlalu jauh, lalu memilih jalan yang
mudah, dekat dan tidak mencabar.
3. Kalaulah seorang tokoh seperti Rasulullah
SAW pun menghadapi jenis manusia yang begitu rupa, maka di zaman umat yang
menyambung perjuangannya tentulah lebih banyak lagi, mungkin dengan cara dan
sifat yang berlainan.