Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat 'sedikit terkilan' kerana
Karpal Singh yang maut dalam nahas pagi ini, tidak sempat untuk diberikan
pemahaman tentang hudud.
Ini ekoran hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk memfailkan bil persendirian di Parlimen bagi membolehkan undang-undang hudud dilaksanakan.
"Saya amat yakin, individu seperti beliau jika diberikan
kefahaman yang sebenarnya tentang undang-undang ini, tidak akan mempunyai
sebarang sebab untuk menolak undang-undang hudud," tulis bekas menteri besar
Kelantan itu dalam Facebook.
"Di Kelantan, sewaktu kita meluluskan Enakmen Kanun Jenayah
Syariah (2) pada tahun 1993, ada yang menghantar surat kepada saya menghalang
enakmen ini dikuatkuasakan dan pihak yang menghantar surat ini namanya bukan
Karpal Singh.
"Saya benar-benar berharap, agar pihak yang bertanggungjawab
menghantar surat ini sempat memahami keindahan undang-undang Allah SWT sebelum
tibanya masa untuk pergi yang tidak akan kembali," tulis Nik Aziz.