Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat 'sedikit terkilan' kerana
Karpal Singh yang maut dalam nahas pagi ini, tidak sempat untuk diberikan
pemahaman tentang hudud.
Ini ekoran hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk memfailkan bil persendirian di Parlimen bagi membolehkan undang-undang hudud dilaksanakan.
"Saya amat yakin, individu seperti beliau jika diberikan
kefahaman yang sebenarnya tentang undang-undang ini, tidak akan mempunyai
sebarang sebab untuk menolak undang-undang hudud," tulis bekas menteri besar
Kelantan itu dalam Facebook.
"Di Kelantan, sewaktu kita meluluskan Enakmen Kanun Jenayah
Syariah (2) pada tahun 1993, ada yang menghantar surat kepada saya menghalang
enakmen ini dikuatkuasakan dan pihak yang menghantar surat ini namanya bukan
Karpal Singh.
"Saya benar-benar berharap, agar pihak yang bertanggungjawab
menghantar surat ini sempat memahami keindahan undang-undang Allah SWT sebelum
tibanya masa untuk pergi yang tidak akan kembali," tulis Nik Aziz.
Sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga ahli Parlimen
Bukit Gelugor, Nik Aziz menyifatkannya pemergian Karpal sebagai satu kehilangan
kepada dunia politik tanahair.
Katanya, ini kerana Karpal amat dikenali sebagai seorang yang
berprinsip dan sukar digugat pendiriannya.
"Beliau juga merupakan pendokong kuat kepada Perlembagaan
Malaysia dan amat tegas dengan pendirian bahawa Malaysia merupakan negara
sekular. Sudah tentu prinsip ini amat berbeza dengan prinsip perjuangan PAS dan
beliau ternyata menghormati perbezaan ini.
"Saya masih ingat sewaktu ke rumah beliau awal tahun lepas di
mana saya diberikan sambutan yang sangat hangat dari beliau. Bahkan beliau
menghantar saya pulang rapat ke pintu kenderaan sekalipun situasi beliau yang
terpaksa bergerak dengan kerusi roda.
"Saya kira, di sebalik perbezaan pandangan antara kami,
sambutan yang diberikan oleh beliau kepada saya sangat-sangat mencerminkan
kelembutan beliau dan penerimaannya terhadap hubungan PAS dan DAP di dalam
Pakatan Rakyat," tambahnya.
Menurutnya lagi, Karpal mendokong kuat Perlembagaan Malaysia dan
beliau yakin pemimpin DAP itu akan terus dikenali begitu di dalam sejarah
politik tanahair.
"Di negara ini, jika semua pihak menghormati prinsip yang
terkandung di dalam Perlembagaan, Kelantan pastinya tidak akan ditindas dengan
pelbagai jenis penindasan.
"Hak Kelantan
termaktub di dalam perlembagaan, tertulis di atas perjanjian, namun ada pihak
yang sewenang-wenangnya membelakangi Perlembagaan dan perjanjian
bertulis," tegas Nik Aziz.
- mkini
No comments:
Post a Comment