.
Suatu hari Rasulullah s.a.w. telah berteka-teki dengan para sahabat. Baginda bersabda yang bermaksud: " Daripada pelbagai jenis pokok, ada pokok yang daunnya tidak pernah gugur dan sifatnya seperti seorang Muslim, apakah pokok tesebut?"
Para sahabat cuba meneka dan menamakan pelbagai jenis pokok yang terdapat di lembah-lembah. Abdullah bin Umar yang meriwayatkan peristiwa ini berkata: "Aku terfikir jawapannya mungkin pokok kurma, tetapi aku segan untuk bersuara dalam kalangan orang yang lebih dewasa (beliau masih kanak-kanak)" Para sahabat ber tanya "Apakah jawapannya Rasulullah?"
Baginda bersabda "Kurma" (Riwayat Muslim no. 5027 dan Al-tarmizi No. 2793)
Daun pokok kurma tidak pernah gugur kerana yang gugur ialah pelepahnya. Banyak faedah yang diperolehi dari pokok kurma selain rasanya yang enak, ketahanannya walaupun telah kering, batang, pelepah dan daunnya yang boleh digunakan sebagai tiang, kayu api, tali dan sebagainya. Imam Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menerangkan bahawa perumpaan pokok kurma dengan seorang Muslim yang memiliki pelbagai kebaikan dengan ketaatan dan amalan solehnya seperti solat, zakat, sedekah, puasa serta akhlaknya yang mulia.