Monday, August 17, 2015
Persoalan ‘Dominasi PAS dan Melayu Islam’
Dalam tulisan saya sebelum ini, saya telah rumuskan bahawa punca perbalahan dalaman PAS baru baru ini adalah ketidak-selesaan pimpinan utama terhadap keadaan PAS yang tidak dominan dalam PR. Akan tetapi saff pimpinan AJK PAS Pusat lama terlalu pro-PR dan tidak melihat persoalan ini sebagai masalah yang mewajarkan PAS keluar dari PR. Begitu juga sikap kebanyakan ahli pada ketika itu dilihat terlalu pro-PR. Maka suasana ini ditangani dengan diubah saff pimpinan dengan yang lain dan dikeruhkan hubungan PAS dan PR supaya ahli PAS turut mempertikaikan PR.
Memandangkan persoalan ‘dominannya PAS’ begitu utama sehingga menyebabkan PAS berpecah, adalah amat penting untuk semua, lebih-lebih lagi ahli PAS, memahami persoalan ini dengan baik dan jelas. Jika tidak, maka ianya bakal mengundang perbalahan sekali lagi pada masa hadapan, lebih-lebih lagi sekiranya pembentukan kerajaan bersama PR di peringkat Pusat menjadi satu realiti.
‘DOMINANNYA PAS’ KE ATAS PR
Bagi saya, isu ‘dominannya PAS’ ke atas PR sememangnya merupakan isu penting. PAS perlu memimpin dan tidak ‘dipimpin’. Tetapi persoalannya, adakah kepimpinan itu semestinya mengambil bentuk ‘dominasi’ seperti yang berlaku di antara UMNO dan BN? Tidakkah ‘kepimpinan bersama’ dan ‘kerajaan melalui konsensus’ memadai?
Melalui kaedah ‘memimpin bersama’ dan ‘kerajaan melalui konsensus’, persoalan ‘dominasi’ mana-mana pihak ke atas pihak lain dalam PR sudah terhalang. Melalui kaedah ini, persetujuan perlu diperolehi dari parti yang mempunyai jumlah kerusi terkecil sekalipun sebelum sesuatu dasar dapat dilaksanakan. Yang mempunyai jumlah kerusi terbanyak pula tidak boleh melakukan sesuka-hati. Pendek kata, dengan adanya kaedah ini, tidak mungkin sesuatu dilakukan tanpa persetujuan semua, termasuk persetujuan PAS!
Tidakkah itu memadai sebagai ‘jaringan keselamatan’ untuk semua parti yang terlibat dalam PR? Semestinya semua parti risau akan kemungkinan mereka didominasi dan pandangan mereka tidak diambil kira. Itulah sebabnya dipilih kaedah dan pendekatan sebegini.
Dalam kaedah seperti ini, usaha untuk mendapatkan persetujuan dan kata-sepakat terhadap sesuatu dasar dicapai melalui penghujjahan yang mantap dan bernas. Saya percaya pimpinan PAS mampu berhujjah sehingga meyakinkan semua terhadap dasar yang ingin laksanakan. Tidak diperlukan keadaan ‘dominasi’ sehingga sesuatu dasar itu boleh dipaksa dan di"bulldoze". ‘Dominasi’ semestinya tidak merupakan suatu keperluan untuk seseorang pemimpin mampu memimpin.
Kalau ‘dominasi’ dianggap sebagai suatu keperluan untuk memimpin, amat malanglah nasib ahli dan penyokong PAS. Ianya merupakan petanda perasaan kurang keyakinan diri dan inferioriti kompleks sehingga menganggap cadangan dan pandangan PAS akan ditolak kecuali adanya ‘dominasi’ PAS.
APA YANG DITAKUTI SEHINGGA DOMINASI DITUNTUT?
Selain dari persoalan kekhuatiran ketidak-mampuan berhujjah sehingga memenangkan pandangan PAS, mungkin ada juga ketakutan yang lain. Mungkin dilihat ada risiko kerajaan PR akan bertindak menjejas kepentingan Islam dan Melayu apabila PAS merupakan minoriti. Adakah ketakutan ini berasas?
Tidakkah risiko ini adalah terkawal dengan adanya:
1. Perlembagaan Negara yang menjaga kedudukan Islam dan orang Melayu (dan ini tidak mungkin diubah kerana memerlukan 2/3) dan
2. Jumlah kerusi bukan Melayu di Parlimen yang sentiasa tidak melebihi 40%.
Maka risiko terhadap berlakunya apa yang dikhuatiri amat terkawal dan risiko tersebut mampu diurus.
Apabila dilihat Pulau Pinang, didapati walaupun PAS hanya satu kerusi dan tidak mampu mempengaruhi kedudukan kerajaan Negeri, dasar kerajaan PR Pulau Pinang jauh lebih membantu Melayu dan Islam berbanding kerajaan BN dahulunya. Peruntukan kerajaan untuk pembangunan Islam di Pulau Pinang adalah 5 kali ganda lebih berbanding peruntukan sama di bawah BN! Oleh itu, tanggapan bahawa selain PAS semua memusuhi Islam adalah tidak berasas dan tiada keperluan untuk melayani kekhuatiran tersebut.
MASALAH YANG LEBIH BESAR
Masalah yang lebih besar yang sedang dihadapi orang Melayu di bawah UMNO/BN adalah pengongkongan minda Melayu oleh UMNO. Ini akan diteruskan mereka selagimana mereka berkuasa. Untuk membebaskan minda Melayu ini maka UMNO perlu dijatuhkan. Ke arah itu, sedikit risiko perlu diambil. Namun risiko ini adalah ‘risiko diambil kira dan dihitung’ (calculated risk), di mana dua ‘jaringan keselamatan’ seperti di atas telah lama diwujudkan.
i.) Pendekatan Fiqh - Fathul Zaraie’
Mungkin ini antara perkara yang boleh ditangani melalui kaedah Fathul Zaraie’ seperti disyorkan para fuqaha’ kontemporari. Fathul Zaraie’ bererti membuka jalan ke arah mafsadah (keburukan) sedikit, dengan adanya kawalan, demi mencapai maslahah (kebaikan) yang lebih besar. Dalam kes ini, maslahah yang lebih besar itu adalah pembebasan orang Melayu Islam dari kongkongan UMNO.
Biasanya yang disebut fuqaha’ dahulu adalah ‘Saddul Zaraie’, atau menutup pintu-pintu ke arah keburukan, tetapi, dalam pengalaman gerakan Islam kontemporari, demi mencapai kemaraan dalam sesuatu usaha, demi kebaikan yang jelas dan lebih besar, kaedah fathul zaraie’ turut dikemukakan sebagai satu pilihan.
ii.) Bukti Keberkesanan Mengambil Risiko
Sebenarnya, kejayaan PAS di Selangor adalah bukti keberkesanan kaedah ini. Walaupun pada 2008 PAS hanya menang 8 kerusi DUN, pada 2013, PAS menang 15 kerusi DUN. Ini tercapai melalui pemerintahan PR tanpa adanya ‘dominasi PAS’. Pemerintahan PR ini telah membuka jalan ke arah pembebasan minda Melayu Islam dan bukan Melayu di Selangor sehingga akhirnya ADUN PAS adalah antara teramai di DUN Selangor!
Walaupun tidak dinafikan bahawa lebih ramai Melayu menyokong UMNO/BN tetapi tidak juga boleh dinafikan bahawa sokongan Melayu terhadap PAS meningkat berbanding keadaan dahulu dan hanya terhalang oleh kerana penguasaan media oleh UMNO/BN. Khususnya media televisyen seperti RTM dan TV3 yang tetap menjadi rujukan Melayu.
iii.) Yang Beriman Sewajibnya Lebih Berani
Kesanggupan mengambil ‘risiko yang diambil kira dan dihitung’ sepatutnya lebih mampu dilakukan oleh mereka yang benar-benar yakin dengan kekuasaan Allah. Sepatutnya mereka yakin bahawa usaha mereka untuk memenangkan Islam diketahui dan akan dibantu Allah sehingga risiko yang diambil itu akan menghasilkan kejayaan. Sekiranya yang berkeyakinan kepada ‘kemampuan diri’ seperti ‘manusia agnostic Barat’, berani dan sanggup mengambil risiko, maka mengapa tidak manusia beriman?
Yang bergantung kepada kekuatan diri sendiri sahaja akan takut pada ‘kekuatan lawan’ yang dilihat secara zahirnya mengatasi kekuatan dirinya. Dia akan sentiasa berada dalam ketakutan sehingga tidak sanggup mengambil apa-apa risiko dan oleh itu akan sentiasa ketinggalan. Ini adalah kerana peluang kemenangan itu sentiasa terlepas atas sebab keraguan dan ketakutan serta kurangnya keyakinan diri dan terhadap bantuan dari Allah.
Kemenangan tidak datang secara ‘bergolek’ atau ‘jatuh ke riba’. Pada banyak ketika, risiko perlu diambil dan asalkan risiko itu merupakan risiko yang ‘diambil kira dan dihitung’, maka seseorang pemimpin mesti berani mengambilnya. Dalam seerah Nabi (SAW) sendiri, banyak peristiwa yang menunjukkan Nabi mengambil ‘risiko diambil kira dan dihitung’. Hijrah ke Habsyah, Hijrah ke Medina, Perjanjian Hudaibiyyah dan sebagainya kesemuanya mempunyai risiko tersendiri. Tindakan Tariq Ibn Ziyyad, Muhammad Al-Fateh, kesemuanya ada risikonya, tetapi risiko yang diambil kira dan dihitung yang dihadapi mereka dengan keyakinan terhadap bantuan dari Allah SWT.
SYARAT ‘DOMINASI PAS’ DAN KESANNYA TERHADAP GERAK-KERJA PAS
Apabila syarat ‘dominasi PAS’ diterima, ia akan menghasilkan pendekatan yang berbeza dalam usaha membawa perubahan kerajaan. Dan ini dapat kita lihat sendiri. Perbezaan dalam pendekatan PAS dewasa ini semakin jelas hari demi hari, isu demi isu, berbanding dengan pendekatan PAS sebelum ini.
Pendekatan sebegini akan menyebabkan PAS tidak akan menyokong perubahan kerajaan sekiranya PAS tidak mempunyai kerusi yang melebihi kerusi-kerusi DAP dan PKR. Kerajaan PR yang tidak didominasi PAS dianggap lebih merbahaya terhadap kedudukan Islam dan Melayu berbanding kerajaan BN yang didominasi UMNO! Oleh itu akan dianggap lebih baik UMNO memerintah sementara PAS membina kekuatannya untuk menggantikan UMNO! Cogan kata “PAS ganti UMNO” ingin diamalkan secara literal. Sepertimana UMNO dominasi BN, PAS pula perlu dominasi PR. Selagimana PAS tidak dapat mendominasi PR, maka terdapat kemungkinan usaha mengubah kerajaan akan sengaja digagalkan!
BAGAIMANA PAS INGIN MENDOMINASI PR?
Ke arah mendominasi PR, PAS perlu menambah kerusinya dengan mendapat undi orang Melayu. Ini diusahakan dengan membawa pendekatan ‘pro-Melayu’. Ini sedikit sebanyak memestikan pendekatan ‘mesra UMNO/BN’ kerana masih ramai orang Melayu menyokong UMNO. Pada masa yang sama, PAS mesti dilihat anti-DAP kerana orang Melayu telah sekian lama ditanam dengan perasaan takut dan benci terhadap DAP.
Apabila PAS dilihat memperjuangkan Melayu kerana mesra parti ‘pejuangan Melayu’ iaitu UMNO dan anti-‘musuh Melayu’ iaitu DAP, maka semakin ramai orang Melayu akan berdamping dan menyertai PAS. Ini dianggarkan akan berlaku apabila semakin jelas korupsi dan penyelewengan UMNO dan orang Melayu semakin hilang kepercayaan kepada UMNO. Apabila Melayu UMNO akhirnya ingin tinggalkan UMNO, maka PAS akan menjadi pilihannya kerana dilihat banyak persamaannya.
Itu adalah secara teorinya.
KESIMPULAN
Secara ringkas, mengikut bacaan saya, inilah pemikiran yang sedang mempengaruhi tindak tanduk pimpinan PAS sekarang. Ianya cara pemikiran yang menzahirkan wujudnya kurang keyakinan diri dan inferioriti kompleks sehingga menuntut kedudukan mendominasi sebelum sanggup menyokong perubahan. Ianya cara pemikiran yang tidak melihat kepada kerosakan yang dilakukan pimpinan UMNO sehingga tiada kesedaran perlunya kesegeraan dalam membawa perubahan kerajaan sebelum Negara dirosakkan ke tahap yang semakin parah.
Kedua, ianya mengandaikan Melayu UMNO yang sekian lama dirosakkan nilai-nilai dan akhlak Islam mereka dengan sogokan pemimpin akan berpindah atas sebab korupsi yang dilakukan pimpinan UMNO. Sedangkan sepertimana selama ini, amalan korupsi pimpinan UMNO dijustifikasikan sebagai “demi Melayu”. Ianya turut menganggap satu perubahan nilai, ke arah menentang kezaliman, penolakan terhadap perkauman, tidak perlu dicapai sebelum pemindahan sokongan Melayu itu dilakukan.
Sekiranya benar bahawa inilah kaedah yang ingin diikuti PAS dewasa ini, maka ia tidak mampu menzahirkan kehebatan perjuangan Islam. Ianya diperlihatkan sebagai perjuangan yang berselindung di sebalik kepentingan ‘Melayu Islam’ sehingga sifat Rahmatan lil ‘aalamin tidak dapat dizahirkan. Hakikatnya, kepimpinan perlu diusahakan bukan dituntut. Dan kepimpinan di sisi rakyat tidak akan diperolehi melalui pendekatan sebegini. Rakyat tidak dapat melihat ciri kepimpinan itu.
Pada masa sama mesej Islam menentang kezaliman dan perkauman disembunyikan apabila melaksanakan strategi perjuangan politik sebegini rupa. Dikhuatiri hasil pendekatan ini imej Islam sebagai agama wahyu yang mengutamakan keadilan akan tercemar. Manusia yang sedang mencari kebenaran illahi akan terpaling dari Islam atas sebab pendekatan sebegini, lebih-lebih lagi dari kalangan yang bukan Melayu.
Harapan baru ingin melayakkan diri ke kedudukan kepimpinan. Ini dicapai melalui penzahiran kehebatan mesej dan perjuangan Islam. Ianya tercapai dengan keterlibatan pimpinan Harapan Baru di Saff terhadapan bersama gelombang kebangkitan rakyat. Inilah apa yang telah diusahakan oeh pimpinan dulu seperti Almarhum Yusuf Rawa, Ustaz Fadhil Mohd Noor dan Tok Guru Nik Abdul Aziz. Dan ini jugalah apa yang ingin diusahakan oleh Harapan Baru.
Melalui kemengan PR 2.0 dan ruang kebebasan yang dihasilkan melaluinya, maka kami yakin insyaAllah akan berlakunya perubahan nilai dan kefahaman politik khususnya dikalangan masyarakat Melayu. Ini akan menghasilkan peralihan sokongan masyarakat Melayu dari UMNO ke Harapan Baru serta PR 2.0 dan membolehkan kepimpinan Harapan Baru diterima masyarakat. Ianya diterima bukan atas dasar dominasi yang berasaskan jumlah yang banyak, tetapi atas dasar hujjah yang kuat dan kukuh dalam menjamin hak seluruh rakyat Malaysia. Harapan Baru, harapan rakyat.
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
Labels:
GHB,
Harapan Baru,
Islam,
Melayu,
Pakatan Rakyat,
PAS
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment