Sunday, June 7, 2015

SEKOLAH AGAMA BUKAN HOSPITAL


 Tiada yang enak pada memperkatakan tentang masalah agamawan semasa. Masalah agamawan hari ini adalah masalah masyarakat kita 20 tahun yang lalu. Kita sedang menuai hasil usaha kita yang dahulu.
Jika anak sakit fizikal, kita pandai menghantarnya ke rumah sakit. Ke hospital. Kita tidak hantar ke sekolah menengah sains, jauh sekali ke fakulti perubatan. Sekolah menengah sains dan fakulti perubatan adalah tempat melahirkan doktor. Bukan tempat merawat pesakit.
Apabila sekolah menengah sains dan fakulti perubatan penuh dengan orang sakit, sekolah dan fakulti akan lari fokus. Kerjanya mengajar biologi, kimia, fizik, bahasa, dan mendisiplinkan pelajar agar tinggi integriti apabila menjadi doktor nanti. Tetapi dek ramai pesakit di sekolah dan fakulti, kampus penuh kuman. Hingga yang sihat pun sakit sama. Beberapa tahun kemudian, lahirlah doktor yang sakit, berpenyakit, penyakit berjangkit, dan menjangkit penyakit kepada pesakit dan orang yang tidak sakit.
Mengapa apabila anak sakit intelektual, emosional dan spiritual, (IES) kita tidak pandai mencari tempat yang betul untuk dihantar? Kita hantar anak-anak yang sakit IES ke sekolah agama, pusat tahfiz dan fakulti pengajian Islam. Bukan supaya mereka menjadi sarjana macam imam-imam yang kita baca dalam sejarah itu. Tetapi mudah-mudahan kacang hantu hilang hantunya. Sekolah agama dan fakulti pengajian Islam sepatutnya sibuk mengajar ilmu-ilmu Islam yang tinggi, mengadabkan bakal pewaris Anbiya’ menjadi ilmuan dan pejuang pembela masyarakat, berakhlaq tinggi mencontohi keperibadian Nabi sallallāhu ‘alayhi wa sallam. 
Tetapi apa yang berlaku ialah sekolah agama dan fakulti pengajian Islam penuh orang sakit. Sakit mentaliti, sakit emosi, sakit spiritual. Jika di sekolah, pelbagai salah laku perlu diuruskan. Manakala di fakulti, pelajarnya selekeh, pemalas, belajar setakat mahu lulus, malas baca buku, dan disempurnakan dengan akhlaq keji.
Jika doktor tidak berkualiti boleh memudaratkan pesakit dan dikenakan tindakan, agamawan yang tidak berkualiti boleh memudaratkan pemikiran, akhlaq dan kehidupan masyarakat, namun tangannya tetap dicium kerana tangan agamawan ada keistimewaannya.
Ada banyak nas boleh dipakai untuk menjadikan tangan agamawan tangan yang dikucup. Walaupun mereka dahulunya sakit di zaman belajar dan masih sakit di zaman mengajar.
“Argh… Kami sudah putus asa dengan karenah agamawan hari ini!” kata kita.
Apabila anak kita dapat straight A’s, kita putus jantung jika anak mahu ke fakulti pengajian Islam dan menjadi agamawan. Hakikatnya, penderitaan kita hari ini dengan kelakuan sumbang agamawan, adalah karma hasil pilihan kita sendiri.
Falā yalūmanna illā nafsah!
ABAH.MY@ Ustaz Hasrizal 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...