KUALA LUMPUR: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V hari ini
melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dalam
upacara penuh adat istiadat di Istana Negara, di sini.
Turut melafaz sumpah memegang jawatan ialah
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Kedua-dua baginda dipilih oleh Raja-Raja Melayu
pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-243 (Khas) di Istana Negara, 14 Okt lepas,
bagi tempoh lima tahun bermula hari ini.
Sultan Muhammad V, 47, menggantikan Sultan
Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai
Yang di-Pertuan Agong ke-14 semalam.
Upacara
di balairung seri hari ini bermula dengan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-244
(Khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan
oleh kedua-dua Seri Paduka Baginda.
Mesyuarat Khas itu dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Yang Di-Pertuan Agong (1957 - 2016) |
Surat Sumpah jawatan itu kemudiannya
ditandatangani oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja
Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, sebagai saksi.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kemudian
menyembahkan pula Surat Sumpah Jawatan kepada Sultan Nazrin yang kemudiannya
melafazkan sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong sebelum
menandatanganinya.
Surat Sumpah Jawatan baginda turut ditandatangani oleh Sultan Mizan dan
Tuanku Syed Sirajuddin sebagai saksi.
Selesai istiadat itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kemudian
memaklumkan bahawa Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-244 (Khas) ditangguhkan ke
suatu masa yang akan ditetapkan kelak.
Acara di balairung seri kemudiannya diteruskan dengan istiadat
menandatangani perisytiharan memegang jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong dan
timbalannya.
Memulakan istiadat itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang
diapit Datuk Paduka Maharaja Lela, Mejar Jeneral Datuk Md Tajri Alwi dan
penolongnya Azuan Effendy Zairakithnaini menghadap dan menyembahkan Surat-surat
Perisytiharan memegang jawatan untuk ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong
dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Najib kemudian membaca perisytiharan bahawa Sultan Muhammad V telah
mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 manakala Sultan Nazrin
pula mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Upacara penuh istiadat yang disiarkan secara langsung oleh Radio
Televisyen Malaysia (RTM) itu diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan
Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Semua sembilan Raja-Raja Melayu atau wakil-wakil baginda serta tiga Yang
Dipertua Negeri hadir pada upacara berkenaan, kecuali Yang Dipertua Negeri
Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud yang diwakili Speaker Dewan Undangan Sarawak
Datuk Mohamad Asfia Awang Nassar.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,
menteri-menteri besar, ketua-ketua menteri, menteri-menteri Kabinet, anggota
Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta pegawai tinggi kerajaan.
Setelah selesai upacara di balairung seri, Najib
mengetuai upacara menghadap diikuti menteri-menteri Kabinet serta orang
kenamaan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment