Perkataan rahmat yang digunakan dalam bahasa kita berasal dari bahasa Arab. Rahmah dari kata rahima yang bermaksud kasih atau kasihan belas. Dari perkataan ini lahirnya perkataan rahim (womb), perkataan ar-Rahman dan ar-Rahim dari akar rahima ataupun rahmat dalam bahasa kita dan lain-lain lagi.
Hidup ini dibina atas cinta dan rahmat. Tanpa cinta dan kasih hancurlah kehidupan. Justeru surah-surah dalam al-Quran kesemuanya –kecuali Surah at-Taubah- bermula dengan basmalah iaitu ‘dengan nama Allah ar-Rahman (Yang Maha Pengasih) Lagi ar-Rahim (Maha Penyayang)’. Hubungan Tuhan dengan manusia serta alam keseluruhannya berasaskan cinta dan kasih. Hubungan manusia dengan Tuhan juga berasaskan cinta dan kasih. Mencintai Tuhan adalah asas dalam keimanan. Sesiapa yang membenci Tuhan maka dia tidak beriman.
Dakwah Atas Rahmat
Tuhan jadikan belas kasih dan sayang sebagai asas kehidupan yang sejati. Ketika membicarakan tentang Nabi Muhammad s.a.w, Allah menyebut: (maksudnya)
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula kepada orang-orang yang beriman sangat belas sayang dan sangat rahmat (kasih) (Surah at-Taubah, 128).
Ertinya, dakwah Nabi s.a.w tidak bermula kebencian kepada mana-mana kumpulan yang tidak melancar permusuhan kepada ajaran Allah. Tidak seperti anggapan bahawa kebencian adalah asas hubungan antara muslim dengan Barat ataupun Timur, dengan Yahudi ataupun Kristian, dengan secularist ataupun agnostic ataupun selain mereka. Asas hubungan muslim dengan pihak lain bukan dengan slogan ‘permusuhan’ ataupun ‘kebencian’ seperti yang difahami oleh sesetengah pihak. Sebaliknya ia berasaskan misi Nabi s.a.w : (maksudnya)
“Kami (Allah) tidak utuskan engkau (Wahai Muhammad) melainkan rahmat untuk sekelian alam” (Surah al-Anbiya 107)
Suami Isteri